|
PAGI itu, sebaik sahaja siap menyarung dua lapis stoking separas lutut dan mengikat tali kasut getahnya, Khairiyanto Sahinek, 32, jelas sudah bersedia untuk memulakan pencarian rezekinya untuk hari tersebut.
Pandangannya dihalakan ke kawasan Pantai Remis di Kuala Selangor, yang baru dua jam surut airnya.
Bagi kebanyakan orang, pemandangan pantai yang surut mungkin tidak begitu menarik. Yang ada hanya tanah berselut dan beting pasir yang dipenuhi timbunan kulit kerang.
Namun, bagi pemuda yang mesra dipanggil Khairi ini, dia, bapanya serta beberapa pencari kerangan laut lain, tanah berselut itulah lubuk rezeki mereka.
Tanpa melengahkan masa, Khairi bersama bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Sahinek, 60-an, berhati-hati menuruni beting pasir sambil memikul tongkah kayu sepanjang dua meter sebelum diturunkan di kawasan lanyau.
"Tongkah ini akan menjadi kenderaan semasa kami meredah selut nanti. Caranya mudah saja.
"Kaki kiri dilipat dan diletakkan di atas tongkah sementara kaki kanan bertindak sebagai pendayung," katanya.
Tongkah yang dibahagikan kepada empat bahagian itu turut berfungsi sebagai bekas untuk mengisi mentarang dan kerangan yang diperoleh nanti.
"Setiap pencari mentarang mesti memiliki tongkah kerana mentarang hanya ada di kawasan tengah pantai.
"Kalau hendak berjalan seperti biasa juga boleh tetapi takut-takut semasa balik nanti, mentarang terpaksa ditinggalkan di tengah lanyau sebab kepenatan," ujar Sahinek pula.
Lanyau ialah sejenis lumpur yang nampak keras tetapi apabila dipijak, kaki akan terbenam hingga ke paras lutut.
Lanyau merupakan habitat semula jadi mentarang, sejenis kerang laut yang berbentuk bujur telur namun meruncing di bahagian hadapan.
Terbenam
Mempunyai kulit yang tajam dan nipis, mentarang memiliki rasa lemak-lemak manis, apatah lagi jika ia dihidang panas-panas selepas dibakar.
Selain di Pantai Remis, mentarang popular di Kuala Perlis, Perlis dan Kuala Muda di Kedah.
Khairi dan Sahinek merupakan pencari mentarang tetap yang menjadikan kerangan itu sebagai sumber rezeki mereka sekeluarga sejak lapan tahun lalu.
Dengan lafaz Bismillah, Sahinek memulakan langkah menuju ke kawasan mencari mentarang yang terletak kira-kira 100 meter dari daratan.
Biarpun jaraknya dekat, ia tetap memberi cabaran, khasnya kepada sesiapa yang tidak biasa berjalan di dalam selut. Bukan mudah untuk memijak permukaan tanah yang licin dan tidak rata. Hendak mengimbangkan diri pun susah.
Kedalaman lanyau juga sukar dijangka. Ada yang separas buku lali, ada yang separas betis malah beberapa kali juga kaki penulis terbenam hingga ke paras paha.
Lebih menyukarkan, sesetengah kawasan selut memiliki timbunan kulit kerang di dalamnya. Bagi yang tidak mengenakan alas kaki yang tebal, keadaan itu sudah cukup untuk membuatkan kulit kaki seperti dihiris pisau.
"Mentarang biasanya mudah ditemui di kawasan berlanyau yang mempunyai sedikit tanah liat iaitu kira-kira 50 hingga 100 meter dari pantai," kata Khairi.
Mentarang gemarkan kawasan pesisir pantai kerana suhunya yang lebih rendah.
"Sebab itu kalau hendak cari mentarang, kena tunggu air surut dulu. Namun, berdasarkan pengalaman, bila air semakin pasang, lebih banyak mentarang boleh dijumpai," kata Sahinek pula.
Kerangan ini dipercayai membiak secara tidak menentu.
"Sukar untuk menjangka musim mentarang sebab ia berubah dari tahun ke tahun.
"Kita tahu musimnya yang akan tiba bila kita nampak banyak benih mentarang beberapa bulan sebelum musimnya yang datang setahun sekali," jelasnya.
Lubang udara
Tambahnya, ketika musim mentarang menjadi, Pantai Remis akan menjadi seperti tapak pesta.
"Bayangkan, kalau pada hari biasa kita cuma boleh dapat dalam 20 kilogram mentarang seorang, tetapi bila musimnya sampai, kita boleh dapat sampai bertan-tan.
"Beberapa tahun lepas, kami menjual sehingga lima tan mentarang sehari, sehinggakan peraih dari Kuala Perlis dan Kuala Muda datang memborong mentarang di Kuala Selangor," kata Sahinek.
Kerja mencari mentarang tidak mudah sebenarnya.
"Tak ramai yang sanggup turun mencari. Pencari kena tahu cara dan tekniknya.
"Jika tidak, sia-sia sahaja mengharung lanyau," ujar seorang penduduk tempatan, Mohd. Yusrizal Yusof, 26.
Mentarang tinggal di dalam tanah liat. Untuk mengenal pasti lokasinya, ia boleh dikesan melalui lubang udara yang memancutkan air secara berkala.
Kata Yusrizal lagi, mentarang tidak timbul di permukaan sebaliknya lebih suka tinggal di dalam selut yang lembap.
"Apabila sudah nampak lubang mentarang, kita perlu korek lubang tersebut menggunakan tangan yang sudah bersarung.
"Mentarang ini bijak juga. Kalau tangan kita tersentuh dengan muncungnya yang tajam, ia akan melarikan diri dengan menyorok ke dalam. Kadang-kadang kita perlu menyeluk lanyau sampai ke pangkal lengan.
"Biasanya mentarang akan duduk di dalam selut dengan muncungnya menghala ke atas.
"Jangan main-main, muncung mentarang cukup tajam. Kalau tak pakai sarung tangan, boleh terbelah tangan dibuatnya," katanya yang hanya mencari mentarang sekiranya mendapat tempahan daripada pelanggan.
Dalam kelompok kerangan laut, mentarang adalah antara spesies yang digemari ramai.
Tidak hairanlah, sepanjang jalan dari Pantai Remis menuju ke Sabak Bernam, terdapat puluhan gerai menjual mentarang di tepi jalan.
Sama ada yang masih mentah, sudah direbus mahupun dibakar, semuanya tersedia untuk meladeni selera peminat mentarang.
"Sejak berpindah tempat kerja dari Melaka ke Rawang, hampir setiap minggu saya bawa keluarga ke sini.
"Kadang-kadang kami mencari remis di pantai dan beli mentarang yang baru naik untuk dimasak terus di sini," kata Andy Yau, 40-an, yang gemar menikmati hidangan mentarang tiga rasa dan kukus halia.
Dia yang pernah bekerja di pelantar minyak di beberapa negara berkata, makanan laut bukanlah sesuatu yang asing baginya namun dia amat meminati mentarang.
"Rasanya manis, lebih-lebih lagi kalau dibakar atau isinya digoreng dengan tepung rangup. Memang sangat sedap.
"Menariknya di Pantai Remis ini, kita boleh makan mentarang yang baru naik dari laut. Harganya pula sangat murah, cuma RM7 sekilogram," katanya yang belum pernah melihat mentarang di negara lain.
Kredit : Kosmo
No comments:
Post a Comment