Tuesday, May 15, 2012

Iklim Di Malaysia

Pengenalan 

Ciri-­ciri iklim Malaysia ialah mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak di kawasan doldrum khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung meski pun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut. 

Angin 
 

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek. Monsun barat daya biasanya bermula pada setengah terakhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir September. Angin lazim pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah iaitu di bawah 15 knot. 

Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. 

Negeri-­negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas dengan tiupan angin ini di mana kelajuannya boleh mencapai 30 knot atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk). Semasa musim-musim peralihan monsun, angin pada amnya berkelajuan lemah dan arahnya berubah-ubah. Pada kedua-dua musim ini, palung khatulistiwa merentangi Malaysia. 

Perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalam tempoh dari April hingga November bila mana taufan kerap kali terbentuk di barat Pasifik dan bergerak ke arah barat merentasi Filipina, angin barat daya di kawasan barat laut pantai Sabah dan kawasan Sarawak menjadi lebih kuat dan boleh mencapai 20 knot atau lebih. Sebagai negara dikelilingi laut, kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah besar terutamanya semasa hari tidak berawan. Pada keadaan petang yang terang cahaya matahari, bayu laut dengan kelajuan antara 10 dan 15 knot selalunya terjadi dan bayu ini boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pendalaman. 

Dalam keadaan malam langit terang, proses sebaliknya berlaku di mana bayu darat yang lebih lemah kelajuannya boleh terjadi di kawasan pantai. 

Taburan Hujan 




Corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi lokal menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pendalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini. Adalah lebih baik taburan hujan di Malaysia diterangkan mengikut musim. 

Perubahan Hujan Bermusim di Semenanjung Malaysia 

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama : 

(a) Bagi negeri-­negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November, Disember dan Januari merupakan bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Jun dan Julai merupakan bulan kering di kebanyakan negeri. 

(b) Kawasan selain kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia, corak hujan menunjukkan terdapatnya dua tempoh hujan maksimum dengan dipisahkan oleh dua tempoh hujan minimum. Maksimum primer biasanya berlaku pada bulan Oktober-November manakala maksimum skunder berlaku pada bulan April-May. Di kawasan barat laut, minimum primer berlaku pada bulan Januari-Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Jun-­Julai. Di lain-­lain tempat, minimum primer berlaku pada bulan Jun-Julai manakala minimum skunder berlaku pada bulan Februari. 

(c) Corak hujan di kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia lebih dicorakkan oleh kejadian 'Sumatras' pagi pada bulan Mei dan­ Ogos di mana corak maksima dan minima berganda tidak wujud. Oktober dan November adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Februari adalah bulan yang mempunyai hujan minimum. Maksimum Mac-April-Mei dan minimum Jun-Julai tidak wujud atau kurang jelas. 

Perubahan Hujan Bermusim di Sabah dan Sarawak Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama : 

 (a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami regim corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua­dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama iaitu Januari manakala hujan minimum pada bulan yang berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai manakala kawasan timur laut pantai Sabah hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah regim ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih dari separuh dari hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak. 

(b) Kawasan pendalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walau pun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Longgo kan menerima hujan tahunan purata melebihi 5000 mm. 

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami regim corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum primer berlaku pada bulan Oktober dan maksimum skunder berlaku pada bulan Jun. Minimum primer berlaku pada bulan Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Ogos. Walau pun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum primer adalah jelas lebih rendah berbanding skunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda. 

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan­kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober. 

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-bulan lain. 

Cahaya dan Sinaran Matahari 

 
Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semulajadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung walaupun ketika tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. 

Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam cahaya matahari sehari. Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan mengikut musim dan tempat jumlah cahaya matahari yang diterima. Secara purata, Alor Star dan Kota Bharu menerima lebih kurang 7 jam cahaya matahari sehari sementara kuching menerima hanya secara purata 3.7 jam sehari dalam bulan Januari. Sementara Alor Star secara purata menerima nilai maksima sebanyak 8.7 jam sehari pada bulan yang sama. Sinaran matahari adalah berkaitan rapat dengan tempoh cahaya matahari. Perubahan bermusim dan bertempatnya adalah lebih kurang sama dengan cahaya matahari. 



Sejatan 

Di antara kesemua faktor­faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhuadalah merupakan dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermaknakurangnya cahaya matahari seterusnya kurang sinaran matahari menyebabkan suhu menjadi rendah. Ujian daripada data­data sejatan menunjukkan bahawa bulan­bulan berawan atau hujan mempunyai kadar sejatan yang rendah sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai , salah satu dari stesen yang letaknya di tanah rendah mempunyai purata sejatan terendah dalam sehari iaitu 2.6mm dalam bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai purata sejatan tertinggi iaitu 6.0mm sehari dalam bulan April. Bagi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana suhu udaranya adalah rendah, kadar sejatannya juga rendah. Sementara kawasan tanah rendah mempunyai purata sejatan tahunan 4mm hingga 5mm sehari, Cameron Highlands mempunyai kadar yang hanya lebih kurang 2.5mm sehari.

* Info ini adalah daripada Jabatan Meteorologi Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...