Friday, May 11, 2012

FENOMENA BULAN BESAR





PADA 6 Mei lalu, penduduk Bumi sekali lagi berpeluang menyaksikan keindahan bulan penuh besar. Kejadian yang diberi julukan supermoon oleh peramal bintang, Richard Nolle pada tahun 1979 itu ibarat acara tahunan yang dinanti-nanti.

Fenomena global itu banyak dirakamkan oleh jurugambar profesional terutama di mercu tanda ternama. Imej bulan besar di sebalik Patung Jesus di Rio de Janeiro, Brazil dan bersebelahan Kuil Poseidon, berhampiran Athens, Greece menunjukkan betapa indahnya kejadian alam itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar warga Britain terlepas detik itu gara-gara awan tebal yang meliputi langit negara tersebut. Hanya penduduk di kawasan barat laut dan barat daya England dan Wales dapat menyaksikan bulan paling besar sepanjang tahun ini itu.

Secara saintifik, fenomena bulan besar terjadi apabila bulan menghampiri Bumi pada jarak yang lebih dekat daripada biasa. Tahun ini, kedudukan bulan dicatatkan pada jarak 356,955 kilometer (km) dari Bumi berbanding jarak biasa kira-kira 384,000km.

Bulan besar membuatkan bulan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada bulan penuh lain. Perigi (perigee) ialah terma saintifik paling tepat untuk bulan penuh tersebut. Perlu diketahui bahawa setiap bulan penuh yang terjadi mempunyai saiz yang berbeza.

Hal itu disebabkan ia beredar pada orbit berbentuk bujur dan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai perigee manakala bahagian kedua dipanggil apogi. Saat bulan penuh terjadi, perigee berada pada jarak 50,000km lebih dekat dengan Bumi daripada apogi. Kesannya, bulan perigee tampak lebih besar dan bercahaya.

Tidak disangkal, jarak yang dicatatkan ketika bulan besar menunjukkan perbezaan daripada bulan penuh waktu lain. Namun, ukuran sebenar rumit untuk ditentukan.


SEJAK minggu lalu, bulan kelihatan lebih terang dan besar.



Ilusi dan Mitos


Wakil Pejabat Meteorologi Amerika Syarikat (AS), Dan Grey memberitahu, bulan besar kelihatan mengagumkan ketika ia berada di garisan ufuk. Posisi bersebelahan rumah atau pokok memberi gambaran betapa besarnya bulan itu kelihatan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS juga berpendapat, waktu terbaik menikmati pemandangan bulan besar itu adalah ketika ia menghampiri horizon.

Bulan pada kedudukan rendah tampak amat besar apabila dilihat di celahan pokok, bangunan atau objek-objek yang berada di hadapannya. Ia merupakan alasan yang tidak difahami pakar astronomi dan psikologi sendiri.

Dr. Robert Massey dari Persatuan Diraja Astronomi AS pula menyatakan, mata manusia berfungsi dengan baik bagi mengimbangi perubahan kecerahan bulan sehingga tiada yang perasan pertukaran ketara tersebut. Apa yang dikesan kebanyakan orang ialah saiz bulan itu sahaja.

Para saintis menambah, sejauh mana pun kedudukan bulan, ia tidak akan menjadikan manusia tidak siuman, melakukan jenayah atau kepercayaan lain yang dianggap karut.

Pakar psikologi, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory, Atlanta, AS mengatakan, tanggapan bulan penuh menyebabkan kelakuan aneh merupakan antara mitos terbesar dunia.

"Orang berpegang pada kepercayaan tersebut berpandukan kepekaan mereka terhadap sesuatu insiden. Sekiranya berlaku perkara luar biasa ketika bulan besar, mereka terus melabelkannya sebagai kejadian aneh.

"Namun, apabila tiada apa terjadi, mereka sekadar mendiamkan diri. Kesimpulannya, segala kejadian yang berlaku dalam jangka masa bulan besar hanyalah kebetulan," ujar Lilienfeld.


BULAN besar kelihatan hebat dilihat dari celahan kubah masjid di Kaherah, Mesir.



Kekarutan tersebut timbul daripada cerita rakyat yang dipercayai disampaikan sejak Zaman Pertengahan. Antara kisah pelik yang dikaitkan dengan fenomena bulan besar ialah pertambahan bayaran untuk kemasukan hospital, peningkatan kadar jenayah dan perubahan tingkah laku manusia.

Majoriti kajian moden bagaimanapun menunjukkan hal sebaliknya. Tiada perkaitan antara fasa bulan dengan insiden jenayah, sakit atau tindak-tanduk manusia. Kenyataannya, pengaruh bulan terhadap Bumi amat kecil berbanding khabar angin yang diwartakan.


Air Pasang


Setiap tahun, bulan besar tampil dengan saiz yang berbeza. Tahun lalu, kedudukan bulan dicatatkan sejauh 356,575km iaitu jarak paling hampir pernah direkodkan sejak dua dekad lalu.

Fenomena tahun ini telah menenggelamkan pancuran meteor daripada sisa-sisa komet Halley yang melewati Bumi setiap 76 tahun. Namun, kesan utama terhadap cuaca planet yang berada pada kedudukan ketiga dari matahari ini ialah air pasang.

Walaupun kedengaran berbahaya, menurut kenyataan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, hal itu bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Di kebanyakan tempat, graviti bulan besar menarik pasang surut air hanya beberapa sentimeter (sm), lebih tinggi daripada biasa.
Kawasan daratan pula hanya dinaiki air sehingga 15sm tetapi tidak akan mencetuskan banjir besar.

Pengarah Jabatan Astronomi Muzium Astronomi dan Planetarium Chicago, AS, Geza Gyuk menjelaskan, menjelang bulan baharu atau penuh, air pasang akan berada pada tahap yang tinggi.
Fenomena tersebut boleh menyebabkan ribut dan banjir tetapi belum ada bukti saintifik mengaitkannya dengan gempa bumi atau bencana alam lain.

"Bulan besar telah berlaku sejak berbilion tahun dahulu. Tiada apa yang istimewa tentang fenomena ini melainkan langit malam yang cantik," ujar Gyuk lagi.

Tsunami Jepun




PERUBAHAN kedudukan bulan dikatakan mempengaruhi hasil tangkapan nelayan.



Beberapa hari sebelum fenomena bulan besar tahun lalu, Jepun dilanda tsunami dan gempa bumi paling dahsyat pernah dialami negara tersebut. 12 Mac 2011 menjadi detik hitam buat rakyat Jepun yang kini bangkit perlahan-lahan daripada malapetaka tersebut.

Secara kebetulan, pada 19 Mac tahun yang sama, fenomena bulan besar pula terjadi sekali gus menimbulkan spekulasi tentang hubung kaitnya dengan bencana di Jepun.

Tidak dinafikan, bulan besar mampu memberi impak terhadap aktiviti seismik disebabkan interaksi graviti yang kuat antara bulan, matahari dan Bumi.

Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan fenomena tersebut dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun.

"Gempa bumi di Jepun terjadi ketika kedudukan bulan berada pada jarak normal dengan Bumi.
"Mungkin ada beberapa kejadian gempa bumi yang mempunyai sedikit perkaitan namun kejadian di Jepun tidak dikira," begitu penerangan oleh pemerhati astronomi untuk Balai Cerap Griffith di Los Angeles, Anthony Cook.

Kredit : Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...