Sunday, March 4, 2012

Kisah Atap Nipah Pak Hitam

Dipetik dari Kosmo



ARUS deras Sungai Selangor menjadikan perjalanan menghilir sungai menjadi lebih mudah. Selepas lebih 20 minit mendayung sampan, destinasi yang dituju semakin hampir.
Selaku jurupandu berpengalaman, Pak Hitam mengayuh sampan menghampiri tebing dan menambatnya di salah satu kayu pancang yang tersedia di situ.
Pak Hitam atau nama sebenarnya Abdul Malik Puteh, merupakan seorang pengusaha atap nipah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
Sejak beberapa tahun lalu, selepas bersara daripada pasukan renjer hutan, inilah rutin harian lelaki berusia 53 tahun ini.
Seawal pukul 8 pagi, Pak Hitam akan turun mendayung menghilir ke Sungai Selangor untuk mengambil daun nipah.
"Hati-hati ya, tanah licin. Silap langkah boleh tergelincir nanti," pesan Pak Hitam.
Namun belum sempat bapa kepada dua anak ini menghabiskan ayatnya, penulis sudah jatuh terduduk di tebing sungai.
Tanah berlumpur yang licin dek timpaan hujan malam tadi menjadi cabaran pertama buat penulis dan jurufoto, Fairuz Izyana Ayub.
"Pokok nipah lebih banyak tumbuh di kawasan paya bakau berbanding di daratan," kata Pak Hitam.
Katanya lagi, untuk memasuki kawasan paya bakau, sama ada melalui jalan darat mahupun jalan air, tidak sah jika tidak meranduk air dan lumpur yang adakalanya boleh mencapai paras lutut jika air pasang penuh.

SIFAT atap lalang yang mampu menebat haba matahari menjadikannya sebagai atap pilihan utama kebanyakan resort tepi pantai.


Dipatuk
"Berjalan di kawasan berpaya seperti ini banyak risikonya kerana kita tidak nampak apa yang ada di dalam lumpur.
"Pergerakan tidak selaju di tanah keras. Kaki terlekat, terpijak kayu tajam, tersepak tunggul, itu perkara biasa.
"Kalau nasib tidak baik, kaki boleh terbolos ke dalam lubang bekas tunggul pokok atau parit. Memang boleh menangis kita dibuatnya," jelas Pak Hitam.
Ditanya tentang ancaman binatang berbisa, lelaki ini hanya tersenyum.
"Ini memang tempat dia. Boleh dikatakan selalu juga kami terserempak dengan ular. Paling kerap kami jumpa adalah ular air, daun, kapak dan tedung selar.
"Ular kapak paling berbahaya kerana ular berbisa ini tidak takut dengan bunyi bising seperti ular lain. Malah, ular kapak jarang melarikan diri kalau dihalau.
"Jika terserempak dengan ular degil seperti itu, tiada jalan lain kecuali cantas kepalanya," ujar Pak Hitam.
Tambahnya lagi, ular kapak yang boleh berubah warna kulit mengikut warna persekitaran itu suka berehat di pelepah nipah.
"Kalau kita jumpa ular ini di pelepah muda, warnanya hijau. Kalau jumpa di daun kering, warnanya boleh bertukar coklat. Bila kita takik pelepah, kadang-kadang tak perasan ada ular kapak melingkar di depan kita.
"Kalau setakat terkejut, itu kira nasib baik tapi kalau kena patuk, nyawa taruhannya.
"Pernah sekali kawan saya dipatuk ular kapak di jari telunjuk.
10 sen
"Memandangkan tempat mengutip daun nipah jauh dari tebing sungai, banyak masa yang perlu diambil sebelum boleh mendapatkan rawatan.
"Dalam perjalanan pulang, jarinya sudah mengecut dan bertukar hitam. Sampai di hospital jarinya terpaksa dipotong. Itu pentingnya memakai sarung tangan dan but getah," ceritanya panjang lebar.
Jika diamati secara dekat, pelepah dan pucuk nipah seolah-olah muncul dari lumpur. Hakikatnya, batang dan akar pokok nipah terendam di dalam selut.

KUALITI atap daun nipah yang direndam dikatakan lebih baik.


Seperkara yang unik tentang pokok ini, ia merupakan satu-satunya pokok palma yang berada dalam spesies pokok bakau dan habitat semula jadinya di kawasan berpaya.
Selain daunnya diambil untuk dibuat atap, sarung otak-otak ataupun pucuk mudanya dijadikan rokok daun, pokok ini juga boleh menghasilkan air nira yang enak.
Sementara itu, buah nipah juga sedap dimakan. Rasanya yang seakan-akan buah kabung biasanya dimakan begitu sahaja.
Selepas memilih pokok sesuai, Pak Hitam menakik pelepah nipah yang memiliki daun tua menggunakan parang.
Untuk mengenali kematangan daun, ia boleh dilihat melalui warnanya yang gelap.
"Hanya daun tua yang boleh dijadikan atap kerana daun muda mudah rosak," katanya.
Sebaik sahaja pelepah jatuh ke bumi, tangannya pantas merintis daun di kedua-dua belah pelepah. Daun itu kemudian dilonggokkan sebelum dimasukkan ke dalam guni gula plastik. Bagi seguni penuh daun nipah, ia boleh dijual dengan harga RM7.
"Seguni daun nipah dapat menghasilkan 12 keping atap nipah gred A," ujarnya.
Sebaik sahaja daun nipah penuh seguni, kami bertiga mendayung pulang ke rumah Pak Hitam yang terletak tidak jauh dari tebing sungai.
Di rumah, isterinya, Rafeah Kasim, 60, kelihatan sedang tekun menyiat kulit pokok bemban yang digunakan untuk menyucuk atap.
Walaupun nampak mudah, proses menyiat kulit bemban tidak semudah yang disangka. Pokok bemban yang menyerupai pokok lengkuas perlu dibelah empat dan dibuang isi tengahnya.
Kemudian, ia dibelah lagi kepada bahagian kecil kira-kira 0.5 sentimeter.

BUKAN calang-calang orang boleh menyiat batang bemban dengan sempurna.


Selepas itu, semua bahagian kecil itu disiat lurus sehingga habis sebelum diselit dicelah ibu jari kaki untuk disiat sekali lagi bagi menghasilkan kulit bemban yang tipis.
"Nampak mudah, tetapi kalau tidak kena gaya, kulit bemban yang liat itu boleh terputus. Pak Hitam pun belum lulus lagi siat kulit bemban ni," seloroh Rafeah.
Dia yang sudah menyucuk atap sejak usianya 12 tahun berkata, biarpun zaman telah berubah, permintaan terhadap atap nipah tidak pernah putus.
"Alhamdulillah, dengan duit atap nipah ini kami besarkan anak dan memberikan mereka pendidikan hingga ke universiti.
"Kira-kira 50 tahun dahulu, harga sekeping atap nipah cuma 10 sen, sekarang kami jual dengan harga RM1.60 sekeping," katanya.
Menarik tentang pasangan suami isteri ini, mereka turut menawarkan peluang pekerjaan kepada orang kampung yang menyertai ahli Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Upah untuk menyucuk sekeping atap ialah 30 sen, kalau sehari mereka boleh cucuk 50 keping atap, dapatlah RM15. Boleh juga buat beli lauk sehari-hari," sampuk Pak Hitam.
Katanya lagi, kebanyakan tempahan datangnya daripada Mohd. Hedzir Borhan, 50, satu-satunya peraih yang membeli atap dengan harga tinggi daripada mereka.
"Sebelum ini kami terpaksa jual dengan harga 80 sen sekeping kepada pihak lain.
"Rasanya tidak berbaloi dengan risiko dan penat lelah yang kami terpaksa harungi untuk menghasilkan sekeping atap," ujar Pak Hitam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...