Bantu ringankan kos sara hidup
|
KOMITMEN kerajaan dalam menyediakan kehidupan yang selesa untuk rakyat tidak mengenal sempadan politik dan kaum.
Begitu jugalah dengan pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 15 Januari lalu.
BR1M banyak menerima pujian dan kecaman kerana ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion. Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dalam satu temu bual menolak dakwaan kononnya bantuan di bawah BR1M itu diagihkan mengikut aliran politik.
“Dalam pemberian BR1M, mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah layak tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik. Tidak wujud soal pilih kasih dalam pengagihan BR1M,” katanya.
Ini terbukti apabila Kedah di bawah pimpinan pembangkang menjadi antara negeri yang menerima bantuan BR1M terbanyak.
BR1M benar-benar bermaksud untuk membantu rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup walaupun ia hanya merupakan pemberian satu kali.
“Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah golongan yang terjejas dengan keadaan inflasi tinggi berikutan mereka perlu membayar sewa rumah, kereta dan sebagainya.
“Kita andaikan begini, satu isi rumah puratanya lebih kurang 4.5 juta dan dibahagikan dengan jumlah rakyat negara ini, 28 juta. Kita akan dapat jumlahnya lebih kurang 6.2 juta isi rumah. Jumlah itu, kita bahagikan dengan mereka yang akan mendapat manfaat BR1M, 5.2 juta isi rumah dan kita akan mendapati lebih kurang 80 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia mendapat manfaat BR1M.
“Maknanya, sebanyak 80 peratus daripada jumlah isi rumah negara ini, kerajaan telah berusaha membantu meringankan beban mereka tanpa mengira kepentingan politik,” katanya.
Selain itu, keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh penerimaan borang BR1M selama satu bulan sehingga 10 Februari ini bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat memohon sebelum ini, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat.
Sementara itu, mengenai kemungkinan berlaku penipuan dalam permohonan BR1M, Mohd. Irwan Serigar berkata, pihak kementerian sudah bersedia dan telah pun mengambil langkah proaktif.
Tambahan pula, ada suara mempertikaikan kejujuran pemohon apabila konsep pengisytiharan sendiri digunakan. Ada kemungkinan pemohon yang menerima pendapatan melebihi RM3,000 adalah hasil daripada pendapatan seperti rumah sewa turut memohon.
Maklumat sahih
“Selalunya kita kira pendapatan kasar. Sekiranya dicampur dengan pendapatan aset lain dan gaji sendiri, lebih RM3,000 memang dia tidak layak.
“Tetapi kami tahu akan ada orang yang menipu. Disebabkan itulah, kita buat verifikasi berperingkat dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi, jabatan dan kementerian berkaitan.
“Lebih 15 agensi yang terlibat dalam proses verifikasi bagi memastikan maklumat yang diberikan sahih. Sebab utama mengapa kami menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) kerana sistemnya komprehensif dan mengandungi segala maklumat berhubung pembayar cukai,” katanya.
Kepada mereka yang menipu, tindakan mahkamah akan diambil. Sememangnya, bukan mudah menunaikan tanggungjawab dalam menyalurkan pemberian BR1M kepada rakyat dengan pelbagai cabaran termasuk tanggapan negatif terhadap niat dan keseluruhan proses pengagihannya.
Ada juga yang mempertikai sumber dana bagi BR1M terutama bila melihat pada keadaan ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan ekonomi negara.
Selain itu, cabaran menilai keikhlasan rakyat dalam mengisytiharkan pendapatan mereka, pengedaran borang dan pengagihan baucar tunai RM500 ke kawasan pedalaman turut sama menguji.
Menyentuh sama ada kementerian sudah bersedia menghadapi senario ketidakpuasan hati masyarakat yang dibangkitkan oleh mereka yang gagal atau ditolak permohonan mereka, Mohd. Irwan Serigar berkata, rayuan boleh dikemukakan.
“Kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya. Kalau mereka benar-benar miskin dan layak, tidak sepatutnya mereka tercicir daripada menerima bantuan ini,” katanya. Sehingga 10 Januari 2012, sebanyak 4,123,713 borang BR1M telah diterima di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 3,850,668 borang dimasukkan ke dalam sistem data bagi tujuan pengesahan.
Sebanyak 3,102,054 permohonan telah diluluskan. Semua pemohon BR1M dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos ataupun boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian 1-800-222-500 atau 1-300-88-3010.
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun menegaskan tindakan kerajaan itu patut diterima secara objektif atas kesedaran sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil berat kebajikan rakyat.
Bagaimana dengan pandangan yang mengatakan pemberian itu bermotifkan politik? “Memanglah mungkin boleh dikatakan ada unsur-unsur politik tetapi itu soal kedua kerana ia merupakan bantuan yang wajar ketika kos hidup semakin meningkat.
“Walaupun RM500 bukanlah satu jumlah yang besar, tetapi ada faedahnya kepada golongan yang memerlukan iaitu mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah kerana sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kehidupan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Abdul Ghapa berkata, kos sara hidup yang tinggi ketika ini tidak dapat dielakkan bagi setiap negara termasuk Malaysia yang kini dalam proses peralihan daripada berstatus sederhana kepada negara maju menjelang tahun 2020.
Ia berikutan ketidaktentuan harga barang peringkat global disebabkan faktor cuaca, bekalan, krisis ekonomi dunia termasuk penggantungan beberapa sumber makanan di negara lain, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.
Kos sara hidup
Abdul Ghapa menarik perhatian bahawa dalam merealisasikan matlamat negara berpendapatan tinggi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi penekanan kepada transformasi politik dan ekonomi untuk membantu rakyat melalui proses peralihan ini.
Namun begitu, ia merupakan satu proses jangka masa panjang untuk melihat hasil daripada dasar berkenaan. Ditambah pula, dengan kemelut kos sara hidup yang meningkat, sedikit sebanyak proses peralihan ini memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Memahami akan keperitan golongan itu, Najib merasakan perlunya satu mekanisme dalam mengagihkan faedah yang diperoleh semasa pertumbuhan ekonomi yang dikecapi dalam proses menuju negara maju.
Menurut Abdul Ghapa, di sinilah terletaknya peranan BR1M sebagai satu mekanisme pengagihan.
“Ini dapat membuatkan tekanan yang dihadapi rakyat akibat transformasi yang dialami semasa proses peralihan itu, dikendurkan,” katanya.
Pendekatan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan usaha yang pernah dijalankan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein pada era 1960-an dan awal 1970-an semasa inflasi melanda negara.
Seperti Najib, Tun Razak juga melaksanakan program transformasi ekonomi dengan pelaksanaan dasar pembangunan jangka panjang dan untuk menampung kelemahan, antaranya beliau memperkenalkan tindakan pembetulan jangka masa pendek.
“Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang dilancarkan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan restoran rakyat yang diperkenalkan bapanya yang memberi jaminan harga makanan yang berpatutan,” jelasnya.
Najib kata beliau, melangkah jauh dengan memperkenalkan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai program jangka pendek yang membolehkan faedah segera disampaikan kepada rakyat.– Bernama
Petikan dari Kosmo
No comments:
Post a Comment