Wednesday, April 16, 2014

AIRASIA SAHKAN AKAN BERPINDAH OPERASI KE KLIA2 MENJELANG 9 MEI 2014

KLIA2

AirAsia mengesahkan pihaknya akan memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjelang 9 Mei 2014.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun berkata walaupun masih terdapat beberapa isu komersial yang tertangguh, perkara itu tidak akan membataskan operasinya di KLIA2.

Beliau berkata, AirAsia telah membuat persediaan yang perlu untuk berpindah ke KLIA2, sejajar dengan spesifikasi Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), seperti ujian operasi dan 'airside'.

Dengan bantuan dan sokongan daripada pihak Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB), kami akan dapat melengkapi kehendak spesifikasi ORAT untuk memudahkan proses perpindahan kami," katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik oleh Bernama.

Kamarudin berkata, syarikat penerbangan itu yakin perkhidmatan di lapangan terbang baharu itu dan perkhidmatan Kumpulan AirAsia yang bertaraf dunia itu akan terus meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan negara, serta industri dan sektor berkaitan yang lain.

Awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei depan bagi menjamin kelancaran pembukaan KLIA2.

Beliau berkata operasi KLIA2 akan bermula seperti dijadualkan iaitu pada 2 Mei depan yang mana membabitkan empat penerbangan pertama iaitu Cebu Pacific, Malindo Air, Tiger Airways dan TigerAir Mandala.

Bagaimanapun, AirAsia mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya enggan berpindah ke KLIA2 dari LCCT berikutan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...