Gajet pantau penyakit jantung
CETUSAN idea pakar kardiologi antarabangsa, Prof. Michael C.L. Lim
dalam menghasilkan alat pemantau Elektrokardiogram (ECG) yang
diintegrasi ke dalam telefon bimbit secara tidak langsung membuka
lembaran baharu dalam sejarah perubatan penyakit jantung.
Ini kerana gajet yang dikenali sebagai EPI Life itu membolehkan
sesiapa sahaja memeriksa dan merekod tahap ECG masing-masing ketika
merasai simptom berkaitan masalah kardiologi.
Telefon mudah alih pertama di dunia yang memiliki sistem tersebut
telah diperkenalkan oleh Heartronics Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat
teknologi e-kesihatan yang memberi tumpuan kepada mempromosi dan
memperkenalkan ciptaan teknologi terkini dalam bidang kepakaran
tele-perubatan, pemantauan kesihatan jarak jauh dan peralatan diagnostik
mudah alih.
Kesan lebih awal
Ia direka dan dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pte
Ltd (EPI) untuk memberi perhubungan antara pesakit dan pakar perubatan
serta membolehkan pengesanan awal penyakit jantung.
Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin berkata,
alat yang boleh dimuatkan ke dalam poket itu dapat membantu
menyelamatkan nyawa mereka yag mempunyai sejarah penyakit jantung atau
berisiko mengalaminya.
|
SEBARANG perubahan denyutan jantung anda kini boleh direkodkan dalam telefon bimbit.
|
“Melalui pengesanan awal, rakyat Malaysia boleh mendapatkan nasihat
perubatan serta-merta sebelum keadaan menjadi bertambah serius atau
berlaku kes kematian mengejut akibat serangan jantung.
“Orang ramai perlu berwaspada kerana penyebab utama kematian jantung
secara mengejut adalah disebabkan ia tidak dikesan. Akibatnya pesakit
tidak berusaha mendapatkan rawatan. Justeru, pengambilan ECG merupakan
cara terbaik untuk mengesan arrhythmia (denyutan jantung abnormal)
kerana ia mengukur aktiviti elektrikal jantung dengan tepat,” jelas
beliau sewaktu pelancaran EPI Life di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Setelah mendaftar untuk perkhidmatan ECG EPI Life, pengguna akan
dihubungkan secara automatik ke Pusat Concierge Kesihatan yang
beroperasi 24 jam sehari. Apabila mengalami simptom seperti loya, sesak
nafas, rasa pening, mengalami debaran jantung atau sakit dada, pengguna
boleh mengambil ECG melalui EPI Life.
Ia boleh dilakukan dengan cara memegang telefon tersebut menggunakan
tiga jari yang disentuh pada bahagian sensor. Tahap ECG kemudian akan
dihantar ke pusat melalui GPRS.
Pusat tersebut yang diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi
kardiologi akan menganalisis bacaan sebelum menghantar keputusan
penilaian dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam tempoh
beberapa minit.
Sementara itu, Michael menyatakan, EPI Life direka dan dibangunkan
bukan sahaja untuk kemudahan dan keselamatan pesakit jantung, tetapi
juga bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi serta
mereka yang ingin mengurus kesihatan dengan lebih baik.
PENGARAH Urusan Heartronics, Jean
Michel Mougin (dua dari kiri) bersama David (dua dari kanan) dan Micheal
(kanan)
menunjukkan telefon bimbit ECG pada pelancaran telefon bimbit
ECG untuk mengesan penyakit jantung.
“Alat ini amat praktikal untuk merekod denyutan jantung pada
bila-bila masa dan di mana jua. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka berasa
tidak selesa atau mengalami simptom yang mungkin menandakan masalah
jantung,” kata beliau sambil memberitahu konsep produk itu sudah
dibangunkan sejak tahun 1990.
Tambahnya, data ECG yang dirakam dengan EPI Life menunjukkan 98
peratus hubung kait dengan 12 Lead-ECG standard. Ia berdasarkan kajian
klinikal yang dijalan dan disiarkan dalam jurnal Jantung Eropah.
Untuk setiap bacaan ECG, ia akan direkodkan secara dalam talian
menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna
sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. David Quek melahirkan rasa
gembira apabila HPKL dipilih EPI Life untuk hospital rujukan.
“Dengan adanya Pusat Jantung Pantai sebagai salah sebuah daripada
Pusat Kecemerlangan Bersepadu yang menawarkan perkhidmatan rawatan
jantung komprehensif, saya percaya hospital ini mampu membekalkan
perkhidmatan yang diperlukan oleh pesakit yang dirujuk,” tuturnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata simptom tidak selesa kadangkala
berlaku sekejap sahaja dan tidak tetap. Justeru, kebanyakan orang tidak
perasan pun apa yang dialami mungkin masalah jantung.
“Dalam kebanyakan kes, pesakit biasanya hanya merujuk kepada doktor atau pergi ke hospital setelah simptom reda.
“Pada ketika itu, doktor akan menghadapi masalah mengenal pasti
keadaan yang tidak teratur ini atau memberikan diagnosis tepat kerana
bacaan denyutan pesakit mungkin sudah kembali normal. Maka, di sinilah
fungsi EPI Life boleh digunakan untuk merekod tahap kesihatan jantung
anda,” ungkapnya.
Pelancaran EPI Life telah dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Balachandran Setiamurthi yang mewakili
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.
“Faktor lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti yang
dikaitkan dengan penyakit jantung juga sedang meningkat. Oleh itu
masyarakat perlu lebih proaktif dalam menjaga kesihatan jantung walaupun
merasakan diri sudah sihat dan cergas.
“Dengan cara itu, rakyat dan kerajaan akan dapat mengurus kos rawatan
kesihatan yang semakin meningkat dengan lebih baik terutamanya apabila
keadaan tidak teratur itu dapat dikesan serta dirawat dari peringkat
awal,” kata Balachandran.
Sumber berita adalah dari
Kosmo Online