LABUAN (26 Julai 2012) - Seorang maut manakala empat hilang apabila kapal tangki Bunga Alpinia membawa bahan bakar dan minyak sawit milik MISC Berhad terbakar dan meletup di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan berdekatan Pulau Enoe, Zon Industri Rancha-Rancha dekat sini semalam.
Kejadian pukul 2.40 pagi itu dipercayai berlaku akibat kapal tersebut disambar petir ketika hujan lebat melanda pulau bebas cukai Labuan.
Difahamkan kebakaran bermula dari dek kapal diikuti siri letupan sehingga kapal tersebut hampir hangus keseluruhan.
Tinjauan mendapati api yang marak atas kapal tersebut mencapai ketinggian melebihi tiga meter.
Api besar itu hanya mampu dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 4 petang.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian tersebut dimaklumkan oleh seorang polis bantuan, Asian Supply Base, yang sedang membuat rondaan di jeti terbabit.
Semasa kejadian, kapal tersebut membawa 29 anak kapal terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam warga Filipina yang sedang sibuk memunggah kargo berisi bahan bakar jenis methanol dari kapal turun ke jeti.